Monday, April 4, 2011

Kesedaran;

Aku teringat satu dialog dalam telemovie 'persinggahan' yang baru aku tontoni dua hari yang lalu. Dialognya berbunyi begini,

"Semua yang ada di dalam dunia ini hanya pinjaman oleh tuhan pada kita. Semuanya hanya satu persinggahan."

Aku terkedu seketika mengenangkan kebenaran di balik dialog itu. Aku terfikir bagaimana pada suatu ketika, duniaku terasa cukup indah apabila dianugerahkan kasih sayang dan kehadiran orang orang yang aku kasihi. Aku terfikir bagaimana pada suatu ketika pula, aku pernah merintih tatkala anugerah yang tuhan berikan padaku diambil kembali dengan tidak semena-mena. Ternyata aku tewas tatkala diduga.

Sesungguhnya percintaan, persahabatan, keluarga, pelajaran, kebahagiaan, kekecewaan dan segala di dunia hanyalah satu persinggahan. Kita berupaya memberikan yang terbaik dalam setiap hal berkaitan dengan hidup kita namun kita juga harus sedar dan redha dengan dugaan yang diberi Tuhan.

Tuhan tidak akan menduga kita lebih dari kemampuan kita. Jika Tuhan memberi dugaan pada kita, itu juga bererti bahawa Tuhan juga telah memberi kita semangat dan kecekalan untuk menghadapi dugaan itu. Terpulang pada kita untuk membuat pilihan, samada untuk bersyukur atau sebaliknya.

Aku akui kini, sememangnya, tiap yang ada di dunia ini hanya satu persinggahan. Lama kelamaan satu persatu akan diambil kembali. Yang akan tinggal hanyalah iman. Apakah mungkin cukup bekalan imanku untuk menemaniku kelak?

No comments:

Post a Comment